Setiap warna ada cerita..ada makna..ada rupa..dan sudah pasti ada serinya..Itulah warna kehidupanku...YEAY!!!

Saturday 12 October 2013

Tragedi Kebakaran Di Kpg.Tian Matu

Dalam kita sedang lena dibuai mimpi dan berselimut tebal ditemani cuaca dingin malam, ramai yang tidak menyedari ada keluarga yang sedang berhempas-pulas atau bekejaran berusaha menyelamatkan diri, keluarga dan harta benda masing-masing pada malam Selasa(8/10/2013) jam lebih kurang 2 pagi. Sungguh tak terduga kejadian kebakaran berulang lagi di Sarawak dan kini berlaku di Kampung Tian, Matu dan anggaran yang dicatat berkemungkinan sebanyak 12 buah rumah yang telah ranap dijilat api. Apa yang boleh aku katakan bahawa berita ini benar-benar telah mengejutkan penduduk tempatan dan sememangnya mendapat perhatian ramai pihak luar. Dan tak salah juga aku katakan bahawa ini merupakan kejadian kebakaran yang juga agak besar berlaku di Sarawak pada tahun 2013 nih saja selepas perkara yang sama berlaku di Kampung Datu, Sibu beberapa bulan lepas yang melibatkan berpuluh-puluh penduduk.  Hmm...Sesekali Ujian datang dari-Nya adalah sesuatu perkara yang diluar dugaan dan kemampuan kita. Sesungguhnya Allah telah merancang dan menetapkan ajal, rezeki, kecelakaan dan kegembiraan kita.


Menjejak kaki ditempat kejadian sudah cukup membuatkan hati aku sayu melihatnya apatah lagi apabila mengenangkan nasib mangsa-mangsa kebakaran ini. Tak terbayang beban dan trauma yang ditanggung oleh mangsa-mangsa semua tambah-tambah benda yang musnah itu pasti sesuatu yang telah diusahakan selama bertahun-tahun atau ada antaranya merupakan kenangan yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka. Hati siapa yang tidak menangis atau bersedih, sedangkan kita kehilangan benda berharga yang kecil pun sudah tidak keruan inikan pula perasaan mereka yang kehilangan rumah tempat mereka berteduh, berehat dan berkumpul bersama keluarga.

Buat para pembaca semua, situasi begini mungkin tidak atau belum berlaku kepada diri kita tetapi sama-samalah kita membantu dan berdoa agar keluarga mangsa kebakaran ini diberi kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian sebegini. Bantuan dan sumbangan kita mungkin kecil tetapi insyaallah dapat meringankan beban mereka yang ketika ini berada di dalam kesusahan.


 Beberapa keping gambar yang dapat dikongsikan bersama anda semua dan gambar ini diambil pada hari ini iaitu setelah 4 hari berlakukan kebakaran di Kampung Tian Matu.

Antara bantuan yang tak putus-putus diterima daripada orang perseorang, badan-badan kerajaan dan swasta yang cuba dihulurkan kepada mangsa kebakaran di Kampung Tian, Matu.

No comments:

Followers